tips on everything that matters. hope this simple clumsy blog can fix us - our things and our life..

Maksud Sebenar Bersederhana Dalam Islam

Pernah dengar konsep bersederhana dalam Islam? Nampak macam memalukan juga kadang-kadang sebab bersederhana dalam Islam semacam suruh umat Islam bertenang, rileks kan? Kekeliruan di sini bukan disebabkan Islam mahupun konsep anjuran bersederhana dalam Islam, tetapi hanyalah kerana bahasa Malaysia/Inggeris yang tidak dapat memberi makna 'bersederhana' secara tepat dalam sepatah kata.

Dalam masyarakat Islam sekarang, ada Al-Qaeda, ada Turki Moden, ada Hamas dan Fatah, ada Iran, ada Afghanistan, ada Ghadaffi, ada Muslim Indonesia/Malaysia dan lain-lain. Kesemuanya ini boleh disalurkan kepada dua kesimpulan golongan - Wasatiyyah vs Ekstrem.


1. Mahmudah/ Wasatiyyah
Benar Wasatiyyah atau bersederhana bermaksud ala kadar; tidak terlalu kaya dan tidak terlalu miskin, ataupun tidak terlalu pandai dan tidak juga terlalu bodoh.

Tetapi lebih tepat lagi, wasatiyyah/bersederhana bermaksud melakukan perkara yang baik dengan sebaik-baiknya bagi mendapat hasil yang baik seperti yang dianjurkan dalam Islam.

Islam menggalakkan umatnya berlumba-lumba, tekun dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Bukan secara sambil lewa mahupun semberono/kucar kacir asalkan siap. Allah SWT berfirman bermaksud, "Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)." - surah Al-sharh 94:7.

Dalam urusan dunia, kita digalakkan menjadi yang terbaik di kalangan manusia yang terbaik. Dan pada masa yang sama tidak hilang panduan dalam hidup. Umat Islam juga boleh membuat pembangunan fizikal dengan unjuran tidak mengenepikan pembangunan hati dan rohani umatnya. Inilah maksudnya wasatiyyah, seimbang,  dunia di tangan akhirat di hati.

Salah satu elemen yang menjadi keperluan dalam hidup manusia umumnya adalah memiliki kekayaan. Kaya dalam Islam luas maksudnya. Kaya ilmu, kaya sahabat, kaya budi bahasa, juga kaya harta.

Memperoleh kehidupan yang baik di dunia hanyalah apabila diberi keberkatan oleh Allah SWT dalam setiap amalan/perbuatan yang kemudiannya mampu menjadi pahala/jambatan untuk sampai ke syurga. Pendekatan bersederhana dalam Islam merupakan salah satu cara menjayakan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi.

2. Mazmumah/ Ekstrem
Ekstrem berlawanan dengan wasatiyyah. Ekstrem menyebabkan rasa terlampau dalam setiap keadaan sama ada terlampau mengejar dunia sehingga melupakan Allah, mahupun terlampau mementingkan akhirat sehinggakan kehidupan di dunia terabai.

Ekstrem menyebabkan perlaksanaan hukum syarak menjadi tidak seimbang. Seperti tidak dapat menyediakan keperluan makan pakai ataupun keluarga dan keturunan tidak dapat menjadi manusia beriman kerana tiada wang (ibu bapa asyik berdakwah) ataupun tidak diajarkan ilmu agama kepada keluarga walaupun ibu bapa termasuk dalam golongan mewah (Kejar kesenangan dunia sehingga terpaksa mengabaikan agama).

Islam adalah agama yang bersifat pertengahan dalam semua keadaan. Pendekatan bersederhana menjamin umat Islam mampu hidup dan memenuhi fitrah mereka setiap zaman. Inilah sebab kenapa Islam bercirikan/bersifat sesuai pada setiap tempat, zaman dan oleh sesiapa sahaja.

Pendekatan ekstrem menyebabkan hubungan manusia dengan Tuhannya/Allah, juga hubungan manusia sesama manusia semakin renggang/menjauh. Ini kerana mereka terlalu mencari solat/zikir/iktikad sehingga melupakan kesenangan dunia atau mereka mencari wang/pangkat/pujian sehingga melupakan akhirat destinasi terakhir setiap manusia.

Dunia ialah jambatan menuju akhirat. Dan akhirat adalah tempat tinggal kekal abadi yang perlu dicari. Ekstrem bukanlah jalan untuk muslim menjadi orang berjaya di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman bermaksud, "Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka." - surah Al-baqarah 2:201.

----------------

PS: Senang cerita, bersederhana dalam Islam bermaksud masa 24 jam diguna secara seimbang, hebat dunia,  hebat juga nanti di akhirat. Bukan bermaksud 'sejahat-jahat aku ada lagi orang lagi jahat', ataupun 'kami mahu akhirat, tidak mengapa hina di dunia'. Contoh jelas (akhirat vs harta) wasatiyyah, nabi Sulaiman. Contoh ekstrem Qarun. Nabi dan rasul yang lain? Juga bersederhana dalam lingkungan kapasiti masing-masing.

(credit) Solusi #37 November 2011